Wednesday, August 29, 2012

Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2012

Salam

Sambutan Hari Raya Aidilfitri kami kali ini tidak banyak bezanya dengan tahun sebelumnya. Semuanya secara sederhana. Belanja raya secara sederhana, duit raya yang sederhana, jalan raya secara sederhana malah cuti juga secara sederhana. Nak dijadikan cerita, kami tidak mengambil cuti sehari pun untuk raya kali ini. Bukan tidak mahu beraya, kami mahu. Tetapi kami punya matlamat untuk membawa cuti yang tidak seberapa nak cukup ini ke tahun hadapan. Motif? Semuanya masih belum pasti, kita merancang tuhan menentukan.

Raya oh raya.

Seperti kebiasaan, lokasi pertama untuk berhari raya adalah secara giliran. Dan tahun ini adalah giliran kampung zero di Melaka. Kebiasaannya isu raya tidak menjadi masalah besar buat kami setakat hari ini kerana tiap kali raya pertama, kami akan pastikan kami berada di kedua² kampung tidak kira siang atau malamnya. Kami masih selesa begitu kerana bagi kami itu cukup adil untuk kedua belah pihak. Yang lebih menyenangkan hati kami, kedua keluarga juga menerima.

Raya kami, biasa² sahaja. Sama seperti suatu hari yang wajib dirai selepas habisnya Ramadhan. Suasana raya kedua² belah keluarga secara sederhana dan tidak lah semeriah mana. Mungkin juga kerana faktor kekecilan ahli keluarga zero 3beradik(seibu sebapa)+4(seibu)+3(sebapa) & suami 3beradik menjadi punca kurangnya kemeriahan hari raya keluarga kami berdua. Di pihak zero, emak punya 5beradik dan anak² mereka yang paling ramai pun 4orang sahaja jumlahnya. Manakala ayah sebenar zero telah berpisah dengan emak sejak zero berusia empat tahun lagi jadi kami adik-beradik kurang mesra dengan keluarga sebelah ayah kandung. Walau bagaimanapun, kami masih berhubung dan masih ziarah antara satu sama lain. Kemudian, emak zero berkahwin pula dengan ayah tiri yang merupakan penduduk tetap dan baru sahaja mendapat taraf kewarganegaraan. Jadi, keluarga sebelah ayah tiri kebanyakkannya tiada di sini. Dan zero punya adik beradik tiri (seibu) seramai 4oarang. Manakala sebelah suami pula, emaknya punya 5beradik dan kesemuanya menetap di Singapura dan emak suami zero juga berstatus warganegara Singapura sehingga ke hari ini. Dan di sebelah ayah suami zero pula, ada 7beradik kesemuanya tetapi kebanyakkannya di luar Johor. Jadi sudahnya, raya kami agak terbatas. Itu kisah untuk tahun ini. Entah esok atau lusa keluarga bertambah, waktu itu mungkin hari raya akan jadi makin meriah. InsyaAllah.

Suasana raya di Melaka (kampung zero) ;

Secara keseluruhannya suasana di sini agak meriah kerana beraya dalam suasana kampung (walaupun gaya macam taman sebab rumah tersusu & sebatang pokok kelapa pun tidak jumpa). Di sini masih ada takbir rumah ke rumah pada malam raya, masih ada dentuman bunga api di sana sini hingga ke subuh hari, masih ada acara keliling kampung salam bersalaman sesama tetangga sebelum solat raya dan sebagainya. Tetapi untuk kami sekeluarga, raya dirai cukup sederhana. Kami sekeluarga menyambut permulaan raya dengan takbir dan bunga api di malam raya, solat raya dan mengunjungi sanak saudara di hari raya pertama dan jika keadaan lebih baik adalah sedikit sambutan di hari raya kedua. Itu sahaja. Cukup ringkas dan singkat tempohnya. Raya ketiga dan seterusnya, tiada lagi keraian.

dengan keluarga di Melaka
kami bertiga
mak, ayah & adik beradik seibu
atuk, nenek & cucu²
 takbir malam raya
kami lagi

Suasana raya di Johor (kampung suami) ;

Di sini suasana sedikit berbeza kerana kawasan rumah suami zero terletak di taman perumahan di tengah ibu kota yang dikelilingi 90% bukan islam. Jadi, sedikit sebanyak rasa dan suasana hari raya kurang dirasai di sini. Kami sekeluarga mulai raya kami dengan solat raya, makan bersama dan kemudian ke Singapura untuk melawat nenek kepada suami di sana. Itu sahaja, cukup ringkas. Keesokannya, tiada lagi keraian.
keluarga di Johor (sebelum kami sampai)
 dengan keluarga di Johor
 moyang & 2 cicit (nenek kepada en.suami)
 moyang & cicit + nenek & cucu
dengan nenek di singapura

Ini lah suasana raya kami sekeluarga. Cuma bezanya kali ini, zero perlu membawa irdina ke pejabat  untuk tempoh 3hari kerana emak pengasuh tutup premis untuk berhari raya. Secara keseluruhan, alhamdulillah everything was fine. Irdina pun tidak banyak ragam. 10 hari kami menjaga irdina untuk tempoh 24jam. Waktu ini kami nampak perangai sebenar beliau. Jika sebelum ini kami hanya dapatkan perkembangan dari pengasuh, tapi kali ini kami lihat sendiri. Dari sifat positif ke sifat negatif semuanya ada. Tapi, bagus juga kerana kami belajar diri irdina yang sebenar. Cumanya irdina makin garang.

Hari ke-1
Duduk di pejabat dan sempat bawa irdina ke Ampang Park makan tengah hari.
Hari ke-2
Hanya duduk diam di pejabat sebab ummi puasa. Irdina makan apa yang ada sahaja.
Hari ke-3
Duduk di pejabat dan ke taman KLCC mandi juga main di taman permainan.



Ok, itu sahaja raya kami sekeluarga untuk tahun ini.

Nota Kaki : Ada tambahan gambar akan diupload kemudia untuk simpanan sendiri 

Monday, August 27, 2012

Salam

Hari Raya Aidilfitri kami kali ini sama sahaja seperti tahun² sebelum ini. Tiada banyak yang bezanya, masih dengan belanja raya yang sederhana, duit raya secara sederhana, jalan raya secara sederhana, cuti juga secara sederhana. Tapi untuk tahun ini bukan kata cuti secara sederhana, tapi kami langsung tidak ambil cuti.

Seperti kebiasaan, raya kami secara giliran dan tahun ini adalah tahun kami beraya di kampung saya terlebih dahulu iaitu Melaka. Tapi cara kami, hari pertama adalah untuk kedua lokasi Melaka juga Johor. Jadi, bagi kami itu cukup adil untuk diri sendiri juga untuk keluarga masing2.

Friday, August 17, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Salam Aidilfitri,

Ampun & maaf atas silap salah. 
Iklas Dari ;
Imran ♥ Rahayu ♥ Irdina

Sedekah Ramadhan vs Sedekah Syawal

Dua hari lagi kita akan menyambut Aidilfitri atau kata lain hari raya. Perkara yang sinonim dengan raya adalah pemberian duit raya yang sememangnya menjadi budaya kepada semua kaum. Baik melayu, baik cina mahupun india, semuanya tidak terlepas mengamlkan pemberian duit raya/ang pau.

Maka itu, waktu raya kanak² adalah orang yang paling teruja. Teruja mendapatkan duit raya selain bergembira dengan pakaian baru dan sebagainya. Ada masanya, wujud pula persaingan di kalangan mereka bagi mendapatkan hasil kutipan terbanyak.

Jika disertakan dengan keihlasan, insyaAllah pemberian duit raya/ang pau dan sebagainya akan menjadi amalan mulia. Walau bagaimanapun, jika pemberiaan duit raya itu sendiri ditukar caranya, waktunya pemberiannya adalah lebih mulia.

Contohnya, jika sebelum ini kita memberi duit raya kerana terikutkan budaya, kali ini kita tukar niat kita kepada bersedekah. Dan pada kebiasaannya kita beri duit raya semasa Aidilfitri (Syawal), kali ini kita berikan semasa Ramadhan. Paling tidak pun, kita beri sehari sebelum Aidilfitri yang mana masih di dalam bulan Ramadhan. Itu adalah adalah lebih baik kerana bersedekah pada bulan Ramadhan berlipat kali ganda pahalanya berbanding Syawal.

Sabda rasulullah SAW:
“Bersedekahlah kamu sekalian, meskipun dengan hanya sebiji tamar. Sesungguhnya sedekah itu dapat memenuhi keperluan orang yang lapar dan menghapuskan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api”

Sejujurnya, sebelum ini kami tidak sedar akan perkara ini juga tidak sedar ganjaran yang akan Allah beri kerana kami masih terikutkan budaya juga tradisi. Jadi tahun ini, sebolehnya waktu dan niat kami perlu diperbetulkan semula.

Subhannallah, besar ganjaran yang Allah janjikan. Jadi, rugi lah kita melepaskan peluang yang ada.

Wednesday, August 15, 2012

Lailatulqadar...

Salam,

Hari ini hari ke-26 umat islam berpuasa, dan ini bermakna malam ini malam ke-27. Malam ganjil di 10 malam terakhir Ramadhan. 10 malam terakhir Ramadhan akan ada satu malam yang Allah s.w.t telah janjikan ibadah pada malam itu ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan.

Sudah pasti semua orang pun berlumba² untuk mendapatkan malam tersebut. Kami juga mencuba. Kalau boleh tidak mahu peluang yang ada terlepas begitu sahaja. Jadi, sepanjang Ramadhan ini rutin kami pada hujung minggu sedikit berubah. Walaupun kami keluar siangnya, en.suami akan pastikan kami sempat berterawih di surau kawasan rumah kami.

Satu malam, iaitu malam ke-23 sewaktu sesi tazkirah semasa solat tarawih, imam di situ sempat berpesan supaya perbanyakkan amalan malam itu kerana mengikut kiraan Iman Shafie lailatulqadar tahun ini jatuh pada malam tersebut.

Malamnya, kami bangun jam 1.15 pagi. Lalu kami buka tingkap, singkap langsir dan terus lakukan apa yang dirasa perlu. Sebab kami buka tingkap, kami singkap langsir untuk membangkitkan ‘mood' berjaga malam. Setelah semuanya selesai, kami kembali semula ke katil dalam jam 3.30 pagi untuk tidur seketika sebelum bangun bersahur. Sejujurnya, rutin ini jarang pada zero dan biasa bagi en.suami.

Tapi apakan daya, kami terus lena tanpa sempat bersahur pagi itu. Kami bangkit jam 6.00 pagi itupun setelah dikejutkan oleh irdina. Selepas selesai solat subuh, kami bertiga lepak sambil berbaring dan bersembang di atas katil.

Waktu itu, tingkap dan langsir kami masih terbuka. Beberapa minit berlalu, dengan tidak semena², irdina tunjuk ke arah luar sambil menutup kedua matanya seolah nampak sesuatu yang pelik. Dan sesekali irdina mengintai dari celah² jarinya dan kemudian menutup semula matanya tanpa kata². Situasi itu berlanjutan untuk tempoh 2-3minit.

Kami jadi keliru. Bila ditanya, irdina diam dan hanya memberi isyarat tanggan dan mata. Bila disoal lagi, irdina senyap. Kami sedikit pelik kerana irdina tidak pernah berkelakuan begitu. Irdina juga tidak pernah main cak cak dengan menutup mata sebenarnya… Kalau ada pun, irdina main cak cak beserta suara dan tanpa tutup mata. Dari gayanya waktu itu, irdina macam nampak sesuatu.

Kami biarkan kisah itu berlalu.

Malamnya, selepas berbuka di Felda Pedana kami bergegas pulang ke rumah kerana seperti kebiasaan en.suami lebih selesa untuk berterawih di kawasan kami. Malam itu, malam ke-24. Kebetulan malam itu, ustaz don menjadi imam di situ (beliau tinggal di sekitar kawasan kami).

Sewaktu sesi tazkirah, ustaz don menyatakan bahawa malam semalam (malam ke-23) seperti berlakunya lailatulqadar kerana ada tanda² terdapat pada malam & siangnya (puasa ke-24). Lantaran dari itu, kami terus teringat pada kejadiaan subuh tadi yang mana irdina seolah² nampakkan sesuatu. Cara irdina luar dari kebiasaan.

Mungkinkah apa yang dilihat irdina pagi itu kelibat malaikat? Mungkinkah itu tandanya lailatulqadar? Apapun, pandangan mengenai lailatulqadar ini terlalu banyak dan sebaiknya kita teruskan ibadah kita secara istiqamah. Pencarian perlu diteruskan. Mungkin juga mala mini malam ke-27, adanya lailatulqadar. Sama² kita beribadah secara istiqamah insyaallah.

Wallahu’alam…

Wednesday, August 8, 2012

Doa Rasulullah s.a.w Ketika Bertemu (Tanda-tanda) Lailatulqadar...


Sayyidatina Aisyah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w bahawa seandainya dia memperoleh (tanda-tanda) Lailatulqadar maka apakah ucapan yang patut dibacakan. Maka baginda menjawab perbanyakkan membaca :
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia sangat suka kepada kemaafan maka maafkanlah daripada kesalahanku.

Manakala, bagi wanita yang dalam haid & nifas, amalan bagi menghidupkan malam Lailatulqadar adalah dengan ;
(i) Berzikir : bacaan tasbih (subhanallah), tahlil (laa ilaha illallah), tahmid (alhamdulillah)

(ii) Perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w

(iii) Perbanyakkan istighfar

(iv) Perbanyakkan doa

Monday, August 6, 2012

Cinta 04.08.04, Cinta 'Senior' & 'Junior'...

Salam,
Tarikh 4hb Ogos lapan tahun yang lalu meninggalkan banyak kenangan. Tarikh mereka ditemukan untuk saling mengenali satu sama lain. Syukur kerana Allah S.W.T memberkati hubungan mereka dan dengan izinNYA mereka mengikat tali pertunangan pada 11.11.07 dan hati mereka disatukan sebagai suami isteri pada 12.12.08.

Kisah mereka agak komplek, cinta pelajar universiti, cinta antara 'senior' dan 'junior'. Ceritanya bermula dengan risikan secara dalam diam oleh si 'senior', dan akhirnya membuahkan hasil, walaupun hakikatnya mereka berdepan dengan cinta 4segi waktu itu. Si 'senior' sudah punya kekasih, si 'junior' juga sama. Masing² sudah punya pasangan istimewa malah sudah sangat serius dengan hubungan masing². Tetapi dalam diam, masing² cuba menyembunyikan status diri tanpa disedari.

Dalam diam, 'senior' sebenarnya telah menyimpan hati kepada 'junior' untuk tempoh dua semester. Ia terjadi apabila 'senior' beberapa kali terlihat kelibat 'junior' waktu berselisih jalan. Apakan daya tiada apa yang boleh dilakukan kecuali sekadar memandang dan terus memandang. Mahu tapi malu. Namun, hari demi hari berlalu, kelibat si 'junior' tidak lagi kelihatan. Sampaikan 'senior' mula patah hati dan menjalinkan hubungan dengan gadis 'A'.

Sehingga suatu hari, kebetulan si 'senior' diminta mengambil gambar kenangan (akhir semester) oleh seorang pensyarah dan dari situ 'senior' terlihat kelibat si 'junior' semula. Segalanya bermula pada hari tersebut. Bermula dari saat itu, risikan demi risikan dilakukan. 'Senior' risik kawan sini, 'senior' risik kawan sana. Dari nama sehingga lah status diri si 'junior' dikoreknya. Akhirnya, 'senior' dimaklumkan bahawa nama 'junior' = ayu 'stylo' ('junior' hanya menyedari gelaran 'stylo' diberi kepadanya saat diceritakan semula oleh 'senior') dan sudah berpunya. 'Senior' tetap mahu mencuba. Sapaan demi sapaan dilakukan, 'junior' seakan dapat menghidu.

Walau bagaimanapun, kerana rasa setia, 'junior' masih buat tidak tahu. 'Junior' telah punya kekasih hati bernama 'Y'. Usikkan langsung tidak dihirau walaupun rakan² ramai yang sudah mula menghidu sesuatu. Biar mereka berkata itu dan ini perihal si 'senior', 'junior' tetap berdiam diri. Sejujurnya, 'junior' memang tidak menyedari kewujudan si 'senior' walaupun sebenarnya 'senior' agak terkenal orangnya dan beliau juga salah seorang fasilitator kami semasa program orientasi. Biar orang kata 'senior' itu hebat sebab beliau ppi, hebat sebab beliau timbalan mpp, hebat sebab beliau di kalangan budak bijak pandai, 'junior' masih berdiam diri. Jolokan abang pendek comel juga tidak mampu meruntuhkan kesetiaan hati 'junior' pada 'Y' waktu itu.

Entah bagaimana semuannya berubah hari ini. Kedatangan seorang rakan 'senior' bertemu 'junior' bernama BOTAK, telah berjaya mempertemukan mereka. Langkah seterusnya dilakukan oleh tuan punya badan sendiri. Bermula dengan 1 sms, 2 sms, 3 sms, dan seterusnya. Sms jadi teman setia. Akibat terlalu suka waktu itu, 'junior' sanggup menyalin semula setiap sms yang dihantar oleh 'senior' ke dalam sebuah buku yang masih disimpan sehingga ke hari ini. Kadang kala rasa seperti kerja gila, tapi itulah kegilaan cinta mereka waktu itu.

Kali pertama mereka berjumpa semasa di Karnival Sukan Mahasiswa. Waktu itu 'junior' bermain bola jaring dan ketika itu juga 'senior' jadi penonton istimewa tanpa disedari si 'junior'. Saat perlawanan habis, 'senior' terus berlalu tetapi sempat meninggalkan sebekas air 'rootbear' (A&W) kepada rakan si 'junior' tanda perkenalan. Kemudian, malamnya mereka berjumpa secara rasminya di Karnival Sukan Mahasiswa tetapi dengan ditemani seorang rakan 'junior' bernama DALILA. DALILA antara peneman setia yang selalu menemani waktu permulaan cinta mereka. Beliau dengan rela hati menemani 'senior' dan 'junior' ketika berjumpa, berjogging, bermain tenis juga berbasikal bersama. Bermula dari saat itu, sedikit demi sedikit hubungan mereka mulai rapat.

Tempat 'dating' yang utama bagi 'senior' dan 'junior' adalah pusat sumber. Kadangkala pagi, kadangkala petang, kadangkala malam dan adakalanya seharian mereka 'berdating' di situ. Dan secara tidak langsung hubungan mereka itu telah menaikkan 'GPA' dan juga 'CGPA' si 'junior' ke tahap yang lebih cemerlang. Manakala si 'senior' kekal dengan kecemerlangan beliau.

Hari demi hari, sedikit demi sedikit, rasa suka, rasa selesa mula timbul dalam hati kecil si 'junior'. Tidak tahu kenapa dan mengapa, hati 'junior' yang selama ini cukup setia dengan kekasihnya yang berada jauh bisa cair bagai air yang mengalir. 'Junior' sendiri keliru dengan diri apalagi orang disekeliling. Kadangkala terfikir apakah kuasa itu, kuasa yang menarik hati bagai tarikan magnet.

Akhirnya, 'junior' pasrah dengan kata hati, pasrah dengan kuasa ilahi. 'Junior' akhirnya memilih 'senior' dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada 'Y' talkala 'Y' sangat menyayangi beliau dan sangat setia w/p berada di kejauhan. 'Junior' sanggup membiarkan linangan air mata 'Y' untuk terus bersama 'senior'. Bunyi seperti sangat kejam dan tak berperikemanusiaan, tapi siapa mampu menipu kata hati sendiri. Itulah pengorbanan cinta mereka. Dan sebenarnya mereka percaya, itulah kuasa Allah S.W.T.

Pelbagai dugaan mendatang, mereka tetap mahu bersama. Pada mulanya cinta mereka ditentang habis²an oleh keluarga si 'junior' kerana telah menerima 'Y' seadanya, 'senior' tetap tidak mahu mengalah. Pelbagai sindiran dilempar, 'senior' tetap tenang dan sabar. Malah semakin disindir, semakin banyak pendekatan yang digunakan untuk menarik hati keluarga 'junior'. Dan akhirnya, cinta mereka diterima. Kesudahannya, kisah cinta 4segi menjadi cinta 2hati. Semuanya terjadi tidak disengaja, langsung tidak siapa menduga.

Kuat kuasa cinta mereka. Jodoh telah menemukan 2hati yang asalnya telah berpunya untuk menjadi satu dan terus hidup bersama. Kini, 'senior' dan 'junior' telah punya anak bernama Nur Irdina Amani sebagai bukti cinta mereka. Hari ini satu, insyaAllah esok lusa akan menjadi 2 dan 3. Syukur alhamdulillah...

Benar lah kata jodoh itu di tanggan Allah S.W.T. Semoga cinta mereka terus mekar, terus dilimpahkan keberkatan olehNYA. Doakan semoga cinta mereka kekal selamanya. Aamiin ya rabal alamin.

Nota Kaki : Sebenarnya entry ini sepatutnya pada 4hb tapi atas masalah teknikal hari ini baru berjaya. Ingat hilang entry ni selepas di taip panjang lebar, akhirnya tersimpan dalam 'draft'. Syukur sangat sebab teringin simpan memori kami di sini.

Saturday, August 4, 2012

Irdina Masuk Umur 2 tahun...

Salam,

1hb Ogos 2012 anak kami Nur Irdina Amani mencapai umur 2 tahun. Syukur alhamdulillah irdina sudah makin membesar. Makna kata, kami juga sudah 2 tahun menjaga dan membesarkan beliau. Ya Allaah syukur atas kekuatan yang kau berikan pada kami ya Allah. Semoga kami lebih kuat dan cekal untuk terus mendidik dan membesarkan anak kami. Aamiin...

Disebabkan tahun ini 1hb Ogos jatuh pada bulan Ramadhan, jadi tiada keraian untuk irdina. Jika mahu bawa sambutan ke hadapan, kurang seronok rasanya. Jadi, tiada keraian dan hanya ada hadiah untuk irdina.

Perkembangan irdina 1 hingga 2tahun :

1tahun 1bulan
Sudah mula diberi makan telur. Selera makan agak baik. Jadi, masih dibekalkan dengan makanan ke taska An-Nur Montessori. Kerap selsema tetapi alhamdulillah jarang demam. Pandai makan sendiri guna sudu & garfu w/p yg disepahkan lebih dari yg masuk ke mulut. Sudah jalan sambil lari anak. Sudah berani turun slides sendiri tanpa bantuan orang lain.

1tahun 2bulan
Sudah mula tunjuk rasa suka / gembira waktu di ambil di taska. Boleh bersalam dengan baik bila diberi arahan. Boleh fokus menonton video pendek 7-20minit tanpa gangguan. Nampak sifat keanak²an yang mana rutin harian bermain sendirian sambil bersembang. Tiba² jadi sangat ‘dependent’ bila sering kali dilihat perlu seseorang di sisi dan tidak boleh ditinggalkan keseorangan. Kadang kala tidur berdengkur. Agak garang & pandai memukul orang.

1tahun  3bulan
Kaki makin kuat untuk naik dan turun tangga juga kawasan berbukit. Kadang kala jalan terjingkit² ke belakang. Pantang dengar perkataan ‘shower’. Jika sudah sebut wajib kena masuk bilik air, tidak aksi amukan bermula. Sudah pandai mahu keluar berjalan. Pantang pakai baju cantik / buka pintu, wajib kena masuk ke dalam kereta. Sangat kaki jalan! Tumbuh gigi ke-6.

1tahun  4bulan
Tunjuk protest dengan cara menghempas badan (tertiarap) ke lantai. Mula belajar menyebut beberapa perkataan contohnya mama, ball, atok, acik, no, cat, dog. Pandai panjat masuk kereta sendiri tanpa bantuan. Tiap kali dihidupkan enjin kereta, dia dulu yang akan masuk ke dalam. Takut kena tinggal lagaknya.

1tahun 5bulan
Kali pertama disuapkan dengan aiskrim pada 15hb JANUARI 2012. Mula ‘berperangai’ dan selalu meragam tidak seperti kebiasaan sangat mudah dijaga. Irdina akan menangis senanggis²nya kalau lambat dapat susu. Kena dipujuk terlebih dahulu sebelum minum semula. Lebih suka berjalan dan berlari apabila keluar daripada duduk diam di dalam stroller. Baru pandai buka seluar sendiri. Main slides dengan cara turun kepala terlebih dahulu. Mula di hantar ke rumah pengasuh depan rumah. Agak liat mahu  masuk ke rumah pengasuh sebab leka bermain. Waktu petang balik sahaja dari rumah pengasuh wajib bermain sebentar sebelum masuk semula ke dalam rumah. Jika tak, menanggis jawabnya.

1tahun 6bulan 
Sudah pandai buka beberapa jenis paip air sendiri tanpa bantuan. Mula menunjukkan pelbagai reaksi. Contohnya, bila marah = hentak kaki / mengeluarkan bunyai ‘ei’, merajuk = memeluk tubuh sambil memuncungkan mulut / berlari ke dinding. Sudah faham beberapa ayat dalam bentuk arahan mudah. Agak lasak. Sudah ligat berlari ke sana ke sini. Mula faham hampir kesemua arahan mudah. Ingat lokasi sesuatu barang disimpan contohnya, di mana lampin pakai buang, di mana bedak, di mana lotion dan sebagainya.

1tahun 7bulan
Berpewatakan agak garang. Tidak mahu berkongsi barang dengan rakan sebaya yang lain terutamanya. Masih dibekalkan dengan makan ke rumah pengasuh.

1tahun 8bulan
Seorang yang sangat aktif tetapi agak pemalu terutama dengan orang yang baru dikenali. Sangat kurang makan dan ada harinya yang irdina tidak makan langsung dan hanya minum susu.

1tahun 9bulan
Langsung tidak mahu duduk dalam stroller jika di luar dan lebih gemar lari ke sana ke mari. Kegemarannya adalah tangga elektrik. Pantang nampak, meronta-ronta mahu mencuba. Ikan adalah makanan kegemaran irdina. Tapi yang peliknyaa, akan makan begitu sahaja tanpa nasi.

1tahun  10bulan
Masih tidak boleh berbual. Beberapa perkataan biasa sahaja baru dikeluarkan. Contoh 'pai' = bye, 'ket' = sakit, ummi, 'b' = abi dan 'nak' contohnya. Sudah boleh berlari agak laju.

1tahun  11bulan
Terpaksa dihantar ke taska@Krista bermula 18hb Julai 2012 kerana pengasuh tidak sihat. Menanggis tiap kali dihantar ke taska selama hampir 2minggu dan akhirnya balik dengan suara yang serak juga berhingus. Sangat tragis. Tetapi ada sedikit perubahan positif bila irdina mula pandai membuat ayat ‘Apa tu?’ siap dengan aksi tanggan sekali. Sangat comel! Lagi, beliau mula menyebut 1, 2, 3, 4, 5 dengan betul.

2 tahun
Irdina masih tidak boleh bertutur dengan baik, tidak seperti kanak² sebaya yang sudah petah percakapan mereka. Irdina masih dengan beberapa tatabahasa yang sama seperti  'mama', 'bo' = ball , 'atok', 'acik', 'no', 'cat', 'dog', 'meow', 'ket' = sakit, pai = bye, ummi, 'b' = abi dan 'nak'. Kami jadi sepositif mungkin. Tidak mahu terlalu mendesak dan beria-ia supaya irdina pandai bercakap. Biar semuanya datang secara semulajadi insyaAllah.

Setakat hari ini, selera makan irdina sudah makin ok. Walau makan dalam kuantiti yang sedikit, tapi kami cukup buat kami puas hati. Pada kami, biar sedikit yang dimakan asal makan dari tidak makan. Alhamdulillah...

Dan yang paling terkini, irdina sekali lagi dipindahkan ke rumah pengasuh semalam kerana masih menanggis tiap kali ke taska (14 hari). Kesian takut² irdina sebenarnya tidak selesa apalagi happy. Tapi syukur, irdina nampaknya sangat selesa berada di rumah mak yah. Setiap kali hantar, irdina sendiri akan buka selipar letak di tempat yang biasa dan kemudian meluru melonjak dan lari ke dalam dengan senang hati. Semoga irdina terus gembira. Syukur...


Nota Kaki : Gambar terikini @ 4.08.12 atas permintaan Nabila Aziz
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...